Kerajaan pada baru-baru ini mengumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat sehingga tahun 2012. Ternyata keputusan ini mengundang pelbagai spekulasi dari pelbagai pihak. Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi sebab atas pemansuhan ini adalah disebabkan kemerosotan keputusan peperiksaan dalam subjek Sains dan Matematik.
Namun, saya sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan ini. Benarkah Bahasa Inggeris menjadi punca kepada kemerosotan ini? Jika berfikir sejenak, sewaktu persekolahan dahulu tidak ramai guru yang mengajar 100% dalam Bahasa Inggeris. Pelajar masih boleh bertutur dan bertanya soalan dalam Bahasa Melayu. Subjek Matematik khususnya, tidak memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi untuk menjawab dalam peperiksaan. Pelajar hanya perlu mahir dalam pengiraan. Hal ini kerana anda tidak perlu menulis satu ayat pun dalam kertas jawapan Matematik anda untuk skor! Jika guru tidak menggunakan 100% Bahasa Inggeris dalam kelas, dan pelajar masih boleh bertanya menggunakan Bahasa Melayu jika mereka kurang faham. Bagaimanakan PPSMI dikatakan punca kepada kemerosotan keputusan peperiksaan dalam subjek Matematik?
Muhyiddin nyata terlalu gopoh dan tidak berfikir panjang dalam membuat keputusan ini. Hal ini dapat dilihat apabila beliau membuat keputusan ini selepas hanya menjadi Kementerian Pelajaran selama 3 bulan sahaja. Lebih memeningkan apabila beliau membuat keputusan dengan menambah peruntukan dan bilangan guru Bahasa Inggeris di sekolah bagi menguatkan penguasaan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris. Beliau ternyata tersalah tafsir matlamat asal PPSMI. Matlamat PPSMI bukan untuk mengukuh penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, tetapi untuk memudahkan pelajar memperoleh ilmu tambahan di luar, seperti internet, televisyen dan apabila melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi kelak. Hal ini kerana hampir kesemua maklumat ini dapat diperoleh dalam Bahasa Inggeris bukan Bahasa Melayu.
Saya masih ingat lagi semasa saya di zaman persekolahan saya (PPSMI belum dilaksanakan). Apabila saya menonton Discovery Channel, atau National Geographic Channel saya kurang faham rancangan yang saya tonton. Bukan saya tidak faham apa yang cuba disampaikan dalam rancangan tersebut, tetapi banyak perkataan saintifik yang saya tidak tahu maksudnya. Hal ini kerana saya belajar subjek Sains dalam Bahasa Melayu. Antara pengalaman yang melucukan ialah apabila saya tidak tahu apa itu coefficient, selepas membelek kamus, coefficient hanya bermaksud pekali! Coefficient bukanlah perkataan yang terlalu saintifik dan sukar difahami jika PPSMI dilaksanakan pada masa saya.
Muhyiddin terus kelu dan tidak berkata-kata apabila rakan baiknya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak setuju dengan keputusan beliau. Tun Mahathir dengan lantang membantah keputusan ini. Beliau juga membuat poll dalam blognya dan mendapati 80% respoden tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan.
Persoalannya, kenapa kita perlu berpatah balik, setelah PPSMI telah pun dilaksanakan? Adakah kita terlalu memartabatkan bahasa kita, sehingga kita menjadikan anak-anak kita mangsa kepada keputusan ini. Ternyata, ramai pelajar khususnya pelajar Melayu akan mengalami culture shock apabila mereka melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi atau Universiti kelak. Bukan itu sahaja, pelbagai buku rujukan dan bahan tambahan di perpustakaan mahupun diluar hanya terdapat dalam Bahasa Inggeris. Dengan ini, kemungkinan mereka akan mendapat keputusan yang kurang cemerlang.
PPSMI atau tidak? Anda fikirlah sendiri.







